Friday, December 18, 2009

Ulasan ucapan Prof Tari Ramadan

0 komentar
Sebagai seorang Muslim, kita harus akur kita hidup dalam dunia yang serba mencabar. Sejak berlakunya Zaman Renaissance di Eropah, agama berdepan dengan ancaman fahaman-fahaman baru yang bila dilihat dari satu sisi mampu mengoncang. Namun kepercayaan pada Tuhan yang satu itu, fitrah. Tidak akan sekali terkubur.

Masakini seorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah akan berdepan pelbagai cabaran. Lebih-lebih lagi mereka-mereka yang hidup dan menetap di negara barat. Permasalahan yang dibawa oleh Prof Tariq Ramadan dalam ucapannya baru-baru ini berkisar sekitar bagaimana seorang Muslim itu dapat mengekalkan kefahamannya terhadap agama (perbuatan dan iktikad) dalam suasana faham barat dan budayanya.

Harus diakui bahawa bukan mudah untuk seorang Muslim menjalani kehidupan di negara ini. Dengan serangan media yang bertali arus mengambing hitamkan Islam dalam segala permasalahan. Menurut beliau, setiap negara Eropah mempunyai satu simbol untuk menyerang Islam. Perancis dengan isu Niqab dan tudungnya, Switzerland dengan isu menara masjidnya dan lain-lain.

Disebabkan oleh tekanan-tekanan ini, Muslim sendiri berasa tidak yakin untuk mengamalkan Islam itu sendiri di negara barat. Inilah masalah utama yang beliau ketengahkan, krisis identiti, kurangnya keyakinan terhadap diri sendiri dan Islam. Namun siapa harus disalahkan? Segala indoktrinasi ini menyebabkan keyakinan terhadap Islam itu sendiri itu luntur. Malah di satu sisi lain mungkin ada fikiran yang agama Islam itu agama yang susah (berkenaan banyak sangat perdebatan perkara furu’,perkara cabang, menyababkan seseorang itu mungkin berfikir akan keserabutan agama itu sendiri). Walhal agama Islam itu sendiri universal sifatnya. Tidak langsung bercanggah dengan nilai-nilai universal dunia.

Menurut beliau harus untuk kembali kepada makna agama Islam itu sendiri. Harus untuk difahami sedalam-dalamnya akan perkara paling asas dalam Islam. Berkenaan kalimah syahadah (kesan Aqidah). Akan apa sebenarnya menifestasi kalimah itu sendiri dan lain-lain. Kita disibukkan dengan perkara cabang sehinggakan kita tak nampak akan indahnya Islam. Yang nampak hanya kecelaruan dan keserabutan.

Beliau juga menegur akan kurangnya keterlibatan Muslim dalam komuniti Eropah. Bila berdepan dengan isu agama, beranilah mereka-mereka ini kedepan. Bila berkaitan isu sosial dan umum seperti belanjawan negara, ‘climate change’, kerja-kerja sosial dan lain-lain peratusan Muslim yang terlibat amat sedikit. Perkara ini yang menyebabkan timbul perasaan kurang senang masyarakat Eropah, walhal Muslim itu sendiri pemegang kewarnegaraan negara-negara tersebut. Jadi kenapa sepi. Adakah Islam berkisar agama ritual sahaja? Dangkal sangatlah kalau begitu fahamnya akan Islam. Mana konsep syumul yang selalu diratibkan di majlis-majlis ilmu?. Persoalan-persoalan ini yang perlu untuk ditanya kembali kepada seorang Muslim.

Selebihnya dia banyak berbicara soal hati. Hadis ke-enam dalam buku 40 hadis tulisan Imam Nawawi menunjukkan peri pentingnya soal hati bagi seorang Muslim. Bagaimana seorang muslim harus membersihkan hatinya dari segala kekotoran. Aku tertarik apabila beliau bercerita soal Ihsan. Dimana, ketika waktu kecil dahulu beliau balik ke rumah menangis dan bapanya menghampiri dan bertanya, “Tariq, apa yang terjadi? Ceritakan pada bapa”. Tariq masih menangis. “Kalaupun kamu tidak boleh bercerita dengan bapa, berbicaralah dengan Allah kerana die tahu segalanya”. Nah, lihat bagaimana bapanya menanam satu sifat yang sangat mulia di waktu beliau masih kecil.

Disini boleh saya simpulkan akan pentingnya proses membentuk diri dan membentuk hati kita. Supaya kelak kita akan kuat dan dapat terus dapat menyemarakkan bumi ini dengan kalimah tauhid.

Beliau juga mahu membetulkan persepsi kita terhadap bukan Islam. Ya, kita juga mempunyai persepsi buruk terhadap mereka sedangkan mereka manusia juga seperti kita. Untuk kita berkongsi hidup di dunia ini perlu dijernihkan segala pandangan kita terhadap manusia. Sebarkan cinta. Cinta kepada Tuhan yang satu, yakni Allah. Cinta sesama manusia dan alam.

Secara keseluruhannya ucapan beliau sangatlah berkesan dan diharap agar semua yang hadir dan dengar dapat mempraktikkan dan mengamalkan dalam kehidupan.

*Ulasan ini dari perspektif saya yang dhaif. Mungkin kurang tepat dengan apa sebenar yang beliau hedak sampai

Wednesday, December 9, 2009

0 komentar
Keselesaan...

Siapa yang tidak mahu akan "kamu".
Dari celik mata kami apabila terbit fajar sehingga lelap mata kami dikala bulan mengambang kami tetap mencari kamu. Katil dan tilam, ke tandas dan bilik mandi, menyusuri ruang-ruang kediaman, menaiki kenderaan untuk bermastautin di pejabat seterusnya kembali ke katil dan tilam. Kamu adalah perkara yang akan diutamakan.
Kami mungkin tidak sedar kerana kamu bukanlah sesuatu yang unik ataupun luar biasa, kamu adalah rutin kami. Kebiasaan bagi kami.

Namun....

Adakah kamu baik untuk kami?
Persoalan yang mungkin kami jarang atau tidak pernah terfikir?
Dilihat secara kasar, kamu telah berjaya membantu kami berasa gembira dan bahagia. Kamu membuatkan dunia inilah yang terbaik.

Kemudian kami cuba melihat hubungan. Hubungan antara kami dengan pencipta, hubungan antara sesama kami dan hubungan antara kami dengan alam.


Kamu membantu kami lebih senang untuk beribadah kepada Allah,
kamu juga membawa kami lalai kepada Allah.

Kamu membantu kami berhubungan tetapi,
kamu juga memutuskan silaturahim.

Kamu membantu kami menikmati alam ini namun,
kamu juga menggongcang ekologi ini.

Jadi kami harus berfikir, bijak dan peka untuk tidak menerima secara membuta tuli apa yang kamu bawa...